CELOTEH REMAJA BERSAMA KAK NGAH : RESEPI BUAT REMAJA

Salam ukhuwwah dari kak Ngah buat adik-adik remaja. InsyaAllah di kesempatan yang Allah berikan ini Kak Ngah berhasrat untuk berkongsi tips, pengalaman dan cerita bersama adik-adik. Semoga Allah memberikan kak Ngah kekuatan untuk bersama adik-adik KRIM semua.

Kak Ngah orang kampung. Kesempatan pulang ke kampung baru-baru ini sesuatu yang sangat membahagiakan Kak Ngah. Kegirangan anak-anak yang cukup senang bermain di halaman rumah ayah cukup menceriakan detik-detik ketika berada di sana.

Suasana di sekitar rumah ayah kini berbeza. Kalau dulu waktu ayah dan bonda ada, keliling kawasan rumah ayah hijau dengan kebun sayur, tebu, nenas, ubi kayu, keledek dan macam-macam lagi. Kini hijau lalang dan rumput liar yang merimbun tinggi. Kak Ngah tersedar yang ayah sudah tidak sekuat dulu. Ayah semakin dimamah usia. Cepatnya masa berlalu, bertambah usia ayah juga bermakna kak Ngah semakin tua.

Kak Ngah terkenangkan kenangan di zaman remaja. Kak Ngah tiga beradik. Abang long, kak Ngah dan adik, masing-masing di sekolah berasrama. Abang Long dan adik di sekolah berasrama penuh, Kak Ngah di asrama harian biasa. Tiap kali tiba cuti sekolah saat kami bertiga berkumpul. Waktu itu ada sahaja ‘projek’ kami tiap kali cuti bermula. Abang Long yang dari dulu hingga kini berbakat dalam memimpin sudah tentunya pengarah projek kami. Kak Ngah dan Adik pasti menurut dan yang paling best mak tak marah dengan projek kami.

Teruskan membaca

PERKELAHAN UKHUWWAH KRIM (PUTERI) NEGERI SEMBILAN KE PD

09 Jun 2009 – Hari terakhir Jambori KRIM Nasional berlangsung dan sehari sebelum Seminar Kecemerlangan Remaja bermula, Kelab Remaja ISMA NS berkesempatan mengumpulkan remaja-remaja puteri dalam aktiviti perkelahan ukhuwwah di pantai peranginan terkemuka di Negeri Sembilan, Port Dickson.

Remaja-remaja puteri dari segenap Negeri Sembilan, termasuk Palong, Rembau, Kuala Pilah, Bandar Enstek, Labu dan Seremban berjaya berkumpul di Seremban seawal jam 7.30 pagi untuk memulakan perjalanan ke PD. Tahniah kepada adik-adik peserta yang telah memberikan komitmen yang baik ini.

Tujuan perkelahan ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi ukhuwwah di antara ahli-ahli KRIM dan penggerak KRIM NS. Hampir kesemua peserta yang menyertai perkelahan ini adalah di kalangan mereka yang aktif menyertai program-program anjuran KRIM NS. Sesuai dengan program perkelahan uhkuwwah ini, para peserta dan penggerak KRIMberpeluang untuk mengenali lebih dekat antara satu sama lain apabila sesi perkenalan diri panjang dijalankan sebaik sahaja selesai menikmati sarapan pagi di tepi pantai PD.

Permainan ukhuwwah yang berlangsung lebih satu jam juga meninggalkan kenangan yang manis buat peserta yang hadir. Seterusnya perkelahan ukhuwwah ini diteruskan dengan sesi tazkirah sebagai bekalan pulang para peserta. Makan tengahari bersama dan solat Zohor berjamaah di hamparan pasir bumi Port Dickson mengakhiri agenda perkelahan ini sebelum bertolak pulang ke Seremban.

Ukhuwwah yang terjalin erat dan kenangan manis bersama diharap akan terpahat kukuh di hati semua yang hadir.

SEMINAR KECEMERLANGAN REMAJA ANJURAN BERSAMA KRIM & ASYBAL CAWANGAN SEREMBAN

10 Jun 2009 – Seramai 75 orang remaja putera dan puteri di sekitar Negeri Sembilan telah berjaya dikumpulkan dalam Program Seminar Kecemerlangan Remaja 2009. Program ini adalah anjuran bersama Kelab Remaja ISMA Negeri Sembilan (KRIM) dan Kelab Asybal dan Zahrawat ISMA Cawangan Seremban.

Peserta di kalangan remaja yang berumur dari 10 hingga 15 tahun dari pelbagai latar belakang dan sekolah telah berkumpul di perkarangan Sekolah Menengah Islam As-Saidiyyah seawal jam 08.00 pagi untuk mendaftarkan diri bagi menyertai program ini. Lagu tema “Anak Soleh” membuka tirai program Seminar Kecemerlangan Remaja ini bermula jam 09.00 pagi. Slot pertama “Motivasi & Teknik Belajar Berkesan” yang disampaikan oleh Saudara Roshidi Shaari yang merupakan wakil dari Persatuan Belia Islam Nasional ISMA Cawangan Ipoh berjaya memberi input yang berguna kepada para peserta. Mereka didedahkan tentang teknik-teknik yang perlu dipraktikkan oleh pelajar dan beliau menerapkan keperluan penumpuan semasa belajar kepada peserta.

Setelah berhenti rehat tepat jam 11.15 pagi, Encik Roshidi Shaari meneruskan slot kedua bagi seminar ini, “Jati Diri Positif : Cemerlang Dunia, Gemilang Akhirat”. Beliau yang juga merupakan pegawai latihan di MAP (Motivasi Alihan Pelajar) Training & Consultancy cukup berpengalaman berdepan dengan golongan pelajar. Peserta yang hadir cukup bertuah kerana dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dari beliau dalam slot ini. Beliau sempat mengingatkan peserta supaya meneruskan usaha jihad dengan mata pena bagi berdepan dengan cabaran umat Islam masa kini.

Selepas makan tengahari dan Solat Zohor, program ini diteruskan dengan slot, “Tips Remaja Cemerlang”. Slot ini disampaikan oleh En. Zuhairi yang merupakan Pegawai Latihan dari Pusat Kaunseling, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kebolehan beliau dalam mengendalikan slot seumpama ini memberi manfaat yang berguna kepada para peserta. Beliau juga berkesempatan mengadakan sesi muhasabah untuk memotivasikan para peserta. Sebaik sahaja selesai slot ketiga, seminar ini diakhiri dengan majlis perasmian penutup. Dr Zainon Bt Yahya selaku Ketua Wanita ISMA Cawangan Seremban telah menyempurnakan majlis perasmian penutup ini dan turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Semoga program ini berjaya mencapai objektif yang telah digariskan dan memberi sebanyak mungkin impak positif kepada peserta yang hadir. Usaha yang dilakukan ini diharap mampu mencetuskan kesedaran kepada peserta untuk berubah ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Klip Video Lagu KRIM (Upgraded)

Saksikan Video Klip Lagu KRIM yang baru dilancarkan semasa Jambori Remaja Muslim Nasional baru-baru ini. Moga dengan adanya lagu KRIM dengan nafas baru ini dapat mencetuskan semangat baru kepada semua penggerak dan ahli KRIM sekalian.. Ayuh, saksikannya…

Vodpod videos no longer available.

more about "Klip Video Lagu KRIM (Upgraded)", posted with vodpod

PROGRAM SENAMROBIK SRIKANDI BERMULA


Tanggal 31 Mei 2009 yang telah pun melabuhkan tirai menyaksikan Kelab Remaja ISMA Negeri Sembilan mengatur langkah bagi mengumpulkan remaja puteri dalam program riadhah. Program ini telah diadakan di dataran Sekolah Rendah Islam As-Saidiyyah, Senawang.

Program yang berkonsepkan senamrobik srikandi ini dirancang bagi menjadi medan pertemuan remaja puteri khususnya di sekitar Seremban. Program senamrobik Ruhul Jadid ini bermula seawal jam 07.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 09.30 pagi. Antara agenda yang diselitkan dalam program ini termasuklah bacaan ikrar KRIM, nyanyian Lagi KRIM, Senamrobik Ruhul Jadid, sesi taaruf ahli KRIM dan tazkirah.

Semoga para remaja puteri dapat menjadikan program ini sebagai medan riadhah yang sihat di samping mengukuhkan lagi ukhuwwah di kalangan mereka. Kepada para remaja khususnya di Seremban jomlah kita meneruskan kesinambungan program yang telah bermula ini dengan memberi komitmen sepenuhnya pada program seumpama ini yang bakal diadakan lagi.

Dari Seremban Ke Semenyih


Seawal hari pertama cuti persekolahan pertengahan tahun 2009, KRIM NS telah berjaya mengorak langkah setapak lagi. Kali ini KRIM NS memenuhi jemputan Pusat Tusyen Unggul di Surau An-Nur Taman Pelangi Semenyih untuk menyampaikan slot motivasi kepada pelajarnya. Seramai 60 orang pelajar yang terdiri dari seawal darjah 1 hingga ke tingkatan 5 yang merupakan pelajar di Pusat Tuisyen ini berjaya dikumpulkan dalam program motivasi ini.

KRIM NS telah diberi kepercayaan oleh pengurus Pusat Tusyen ini, Sdr. Syamsuddin Farid untuk meyampaikan slot Keunggulan Peribadi Teras Kecemerlangan. Slot selama 2 jam 30 minit ini berjaya dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak KRIM NS dengan memberikan kesedaran tentang keruntuhan akhlak remaja hari ini dan menekan 10 ciri peribadi remaja unggul. Dalam slot ini pihak KRIM NS turut menyelitkan beberapa permainan semasa pengisian disampaikan.

Semoga usaha kerdil KRIM NS dalam memberi kesedaran kepada remaja ini dapat memberi manfaat dan kesan yang positif kepada peserta yang hadir.

Program Cuti Sekolah : Sertai Seminar Kecemerlangan Remaja


Para ibubapa, remaja dan anak-anak yang dikasihi,

Sempena cuti sekolah yang sedang berlangsung, Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Kelab Asybal & Zahrawat ISMA Cawangan Seremban akan menganjurkan Seminar Kecemerlangan Remaja. Seminar kali ini bakal menampil Saudara Roshidi Shaari yang merupakan salah seorang motivator daripada MAP Training & Consultancy. Yuran yang dikenakan amat berpatutan. Jadi, jangan bertangguh lagi, daftar segera kepada urusetia tertera untuk program yang sangat bernilai ini.

Butiran Program adalah seperti berikut:

Tarikh : 10 Jun 2009 (Rabu)
Masa : 8.00 pagi hingga 4.00 petang
Tempat : Dewan As-Syatibi, Sek. Men Islam As-Saidiyyah, Taman Rashidah Utama, Senawang
Peserta : Pelajar 10 hingga 15 tahun
Yuran : RM15.00 sahaja

Maklumat Lanjut & Pendaftaran, Sila Hubungi:
Pn. Kaslawati Kassim :: 019-6230101 :: anaksemut2003@yahoo.co.uk
Ustazah Khasliza Sapuan :: 019-6828308