CELOTEH REMAJA BERSAMA KAK NGAH : RESEPI BUAT REMAJA

Salam ukhuwwah dari kak Ngah buat adik-adik remaja. InsyaAllah di kesempatan yang Allah berikan ini Kak Ngah berhasrat untuk berkongsi tips, pengalaman dan cerita bersama adik-adik. Semoga Allah memberikan kak Ngah kekuatan untuk bersama adik-adik KRIM semua.

Kak Ngah orang kampung. Kesempatan pulang ke kampung baru-baru ini sesuatu yang sangat membahagiakan Kak Ngah. Kegirangan anak-anak yang cukup senang bermain di halaman rumah ayah cukup menceriakan detik-detik ketika berada di sana.

Suasana di sekitar rumah ayah kini berbeza. Kalau dulu waktu ayah dan bonda ada, keliling kawasan rumah ayah hijau dengan kebun sayur, tebu, nenas, ubi kayu, keledek dan macam-macam lagi. Kini hijau lalang dan rumput liar yang merimbun tinggi. Kak Ngah tersedar yang ayah sudah tidak sekuat dulu. Ayah semakin dimamah usia. Cepatnya masa berlalu, bertambah usia ayah juga bermakna kak Ngah semakin tua.

Kak Ngah terkenangkan kenangan di zaman remaja. Kak Ngah tiga beradik. Abang long, kak Ngah dan adik, masing-masing di sekolah berasrama. Abang Long dan adik di sekolah berasrama penuh, Kak Ngah di asrama harian biasa. Tiap kali tiba cuti sekolah saat kami bertiga berkumpul. Waktu itu ada sahaja ‘projek’ kami tiap kali cuti bermula. Abang Long yang dari dulu hingga kini berbakat dalam memimpin sudah tentunya pengarah projek kami. Kak Ngah dan Adik pasti menurut dan yang paling best mak tak marah dengan projek kami.

Seawal selepas Solat Subuh dan membaca al-quran, kami akan cepat-cepat membantu mak membuat sarapan dan mengemas rumah. Ini adalah antara perkara wajib kami sebab kami takkan dapat bersarapan bila rumah belum bersapu. Setelah bersarapan, pagi-pagi lagi kami bertiga turun ke tanah. Antara projek rekaan yang pernah kami buat masa cuti sekolah termasuklah projek menanam pisang, tebu, nenas, dan sayur-sayuran. Projek orang kampung dan jarang dibuat oleh remaja hari ini. Pertama kali projek bermula arwah mak pastinya bising juga. Mungkin dia belum percaya kepada kesungguhan kami bertiga. Bukan mudah untuk buat mak percaya. Kami buat sikit-sikit sebab stamina tidak berapa ada. Hari pertama mencangkul suku kawasan semak yang dipilih dan sehingga memakan masa lebih tiga hari. Hari-hari berikutnya barulah menggali lubang-lubang, mendapatkan benih-benih untuk ditanam, menanam dan menyiram. Mak selalunya turut bersama Kak Ngah bertiga sebab piawian dia ketat juga. Mesti kawasan bersih dengan sampah dibakar atau dikumpulkan sebelum naik ke rumah. Disiplin arwah mak banyak mengajar kami dalam melaksanakan projek ini. Alhamdulillah memang projek-projek kami ini berjaya mengeluarkan hasil yang boleh dimanfaatkan oleh kami sekeluarga.

Dalam pukul 10.30 pagi kami biasanya akan mula kepenatan dan berehat sebelum naik ke rumah. Selalunya Abang Long dan Adik akan mengait kelapa muda untuk kami buat penghilang dahaga. Kak Ngah pula akan naik ke rumah dulu untuk membantu mak di dapur. Lepas solat Zohor pastinya Abang Long akan mengajak kami memulakan projek indoor. Beliau sendiri tiap kali cuti pasti siap dengan jadual belajar dan ulangkajinya yang padat. Beg Bang Long tiap kali pulang berat macam batu sebab penuh dengan buku. Memang Bang Long seorang yang bersungguh-sungguh. Kak Ngah dan Adik buat-buat dan cuba-cuba ikut macam Abang Long.

Lepas Solat Asar biasanya kami akan ceria jika hari tidak hujan. Pastinya ada sahaja agenda riadah kami. Kali ini di depan rumah Ayah. Kalau musim badminton, pasti kami bertiga akan berentap dengan reket di tangan. Net ciptaan kami akan diikat antara tangga rumah dan pokok jambu arwah mak. Kalau musim bola, Kak Ngah turut serta bang Long dan Adik mengejar bola. Semuanya menceriakan dan tidak kurang juga ada yang merajuk dan tarik muka dan cukup menyusahkan hati mak dan ayah.

Sebelah malam selepas solat berjamah dan makan malam, Abang Long selalunya akan sambung study dengan konsisten. Abang Long antara inspirasi Kak Ngah dan Adik. Kesungguhan Abang Long berbaloi apabila dia jadi orang kampung kak Ngah yang pertama terbang ke luar negara dengan result trial waktu tu. Kak Ngah dan Adik selalunya tidaklah begitu mengikut jadual waktu yang ditampal. Terasa rugi juga bila teringatkan keculasan kak Ngah waktu tu. Ini adalah kenangan manis kak Ngah tiap kali cuti sekolah di zaman remaja. Kini semuanya tinggal kenangan sebab kak Ngah, Bang Long dan Adik masing-masing sudah berkerjaya dan berkeluarga.

Kepada adik-adik remaja manfaatkan masa yang Allah berikan kepada kita dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah. Jadilah remaja yang bermanfaat kepada orang lain terutama ibu dan ayah tercinta. Zaman remaja adik dan kak Ngah cukup berbeza. Kalau di zaman Kak Ngah nak dapatkan TV3 arial tv mesti menjulang tinggi ke udara. Tapi kini semuanya di depan mata. Suasana hari ini yang terlalu banyak pengaruh yang mengganggu merupakan cabaran yang cukup hebat buat kita. Semoga adik-adik dapat memanfaatkan internet dengan sebaiknya dan mengelakkan diri dari menonton rancangan tv yang tidak bermanfaat diiringi dengan sentiasa merasakan Allah Maha Melihat apa yang kita lakukan setiap detik dan ketika. Semoga kita berkesempatan berjumpa lagi. InsyaAllah.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: