Kem Remaja Muslim 2/2009 Tampil Kelainan Dekati Remaja

12-14 Disember 2009 – PDS Training Centre, Port Dickson menjadi lokasi bersejarah buat Kelab Remaja ISMA Negeri Sembilan apabila Program Kem Remaja Muslim Siri 2/2009 berjaya dilaksanakan.

Seramai 113 orang remaja putera dan puteri dari seluruh Negeri Sembilan dan beberapa negeri berhampiran berjaya mengikuti program tahunan KRIM NS ini dari awal hingga ke akhir. Tahniah dan syabas buat para remaja! Tanggal 12 Disember hampir keseluruhan peserta berkumpul dan mendaftarkan diri di perkarangan Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi. Seawal jam 09.00 pagi peserta bergerak menuju ke lokasi kem dengan menaiki dua buah bas yang ditempah khas oleh pihak KRIMNS.

Seawal jam 11.00 pagi Kem Remaja Muslim 2 bertemakan “Ukhuwwah Dijalin, Akhlak Terpimpin” dimulakan dengan sesi taklimat program tanda bermulanya peraturan kem. Sebaik tamat taklimat ringkas dan padat, peserta melangkah ke slot 1 yang dinamakan “sahabat & persahabatan” yang dikendalikan oleh Pengarah KRIM Johor, Cikgu Ismail Ali. Pengalaman dan ilmu yang berguna dikongsikan oleh beliau dalam sesi ini.  

Usai makan tengahari dan solat Zohor berjamah, Cikgu Ismail dan krew yang diundang khas oleh KRIMNS meneruskan slot kedua “Bahtera Kasih. Di tengah terik matahari petang itu, peserta yang rata-ratanya baru pertama kali bertemu dikumpulkan mengikut kumpulan masing-masing dengan tugasan yang diberikan kepada mereka. “Bahtera Kasih” petang itu berjaya memupuk ukhuwwah dan persahabatan di kalangan peserta.

Jam 3.30 petang, aktiviti yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para peserta. Kali ini perserta putera dan puteri diasingkan. Puteri meneruskan sesi memupuk ukhuwwah dalam slot ice breaking yang dikendlikan oleh KRIMNS. Manakala peserta putera berkumpul bagi sesi taklimat dan praktikal “rafting” dengan semangat kerjasama dan berpasukan yang tinggi. Petang itu cuaca cerah dan mereka bertungkus lumus membina rakit mengikut kumpulan  masing-masing selesai taklimat dari jurulatih kem. Sebaik waktu Asar tiba para peserta putera bergegas menuju ke laut yang biru untuk berwuduk  dengan air laut dan pengalaman berharga ditimba apabila hamparan pasir menjadi tempat solat mereka pada petang itu.

Selesai Solat Asar, mereka meneruskan aktiviti membina rakit yang cukup memberi pengalaman dan ilmu yang berguna buat mereka. Setelah rakit menggunakan tong, buluh dan tali berjaya dihasilkan mereka diminta untuk memakai jaket keselamatan dan diajar teknik-teknik mengapungkan diri dan berenang. Setelah itu mereka mula mendayung rakit masing-masing  menongkah ombak dengan semangat juang yang tinggi menuju ke bendera yang di pacak di tengah laut. Peserta puteri juga tidak ketinggalan melalui pengalaman membina rakit dan mendayungnya menongkah ombak ke tengah laut keesokan harinya. Susah payah membina rakit dan keseronokan mendayung rakit bersama rakan sekumpulan menyemai ukuwwah dan memupuk semangat kerjasama antara peserta.

Peserta Kem remaja Muslim kali ini cukup bertuah kerana sepanjang tiga hari dua malam mereka turut dihidangkan dengan beberapa slot pengisian yang berguna. Seawal hari pertama mereka didedahkan dengan slot Aqidah Sejahtera, Remaja Perkasa  yang disampaikan penuh makna oleh Ustazah Hayati Mohd Zari selaku Ketua Wanita ISMA Cawangan Port Dickson. Pada hari kedua program, Ustazah Razidah Adam berkongsi ilmu dan tips tentang Komunikasi Berkesan-Ukhuwwah Terjalin, Akhlak Terpimpin. Tidak ketinggalan sesi kuliah subuh dan maghrib turut menghiasi program ini.

Slot yang paling menarik perhatian peserta sehingga mampu mencungkil bakat-bakat terpendam remaja  dan membawa kelainan dalam program kali ini adalah slot “Cinta & Syukur” yang dikendalikan oleh Ustaz Badrul Hisam (Abi Ahmad). Walaupun dalam keadaan peserta yang keletihan sepanjang aktiviti indoor dan outdoor sebelum ini, Abi Ahmad berjaya menarik remaja untuk focus dengan beberapa aktiiti yang interaktif.

Dengan pengalaman Abi Ahmad yang masak berdepan para remaja beliau berjaya mengajak remaja mengenal dan mencintai Allah sebagai Rabb dengan kupasan mudah dan praktikal untuk difahami. Malah terdapat peserta yang turut menyumbangkan idea-idea yang bernas. Kemuncak daripada slot ini, Alhamdulillah, dengan izin Allah, Abi Ahmad telah berjaya menyentuh hati para peserta tentang hakikat cinta dan syukur kepada Allah sehingga peserta mengalirkan air mata kesedaran dan keinsafan. Semoga dengan titisan air mata dari hati para peserta mampu menghasilkan perubahan dari dalam diri remaja itu sendiri.

Alhamdulillah Kem Remaja Muslim 2/2009 kali ini mampu menampilkan kelainan dalam mendekati remaja. Semoga Allah s.w.t akan terus memberikan taufik dan inayah-Nya kepada kami untuk meneruskan usaha mendekati remaja dan berjaya melaksanakan program-program yang berkesan.

Disediakan oleh:

Puan Kaslawati Kassim, Setiausaha KRIM NS

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: