RRJ FC dan Kolej UNITI Juara Baru KAHFI 2010

Kejohanan Futsal Islami (KAHFI) 2010 telah melakar sejarah apabila dua buah pasukan yang menjadi naib juara pada edisi 2009 berjaya mengungguli kategori masing-masing untuk tahun ini. Pasukan Kolej UNITI, Port Dickson memenangi kategori belia manakala pasukan RRJ FC dari Taman Rasa Sayang pula menjuarai kategori remaja. Ternyata kejayaan itu tidak datang dengan sekali percubaan tetapi adalah hasil daripada usaha yang berterusan dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri, sekaligus membuktikan kebolehan golongan remaja dan belia.

KAHFI 2010 yang merupakan kejohanan futsal tahunan edisi ke-3 anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) ini telah berlangsung pada 7 Februari yang lalu di Gelanggang Futsal, Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Paroi. Seawal jam 8 pagi, sebanyak 10 pasukan remaja dan 14 pasukan belia yang mengambil bahagian telah mula mendaftarkan diri. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran pasukan-pasukan dari luar Seremban, termasuk dari luar Negeri Sembilan.

Irama lagu-lagu nasyid yang dipasang mengalu-alukan ketibaan peserta. Keistimewaan kejohanan futsal kali ini ialah semua yang hadir telah berpakaian lengkap menutup aurat baik para pemain, para penyokong mahupun barisan pengadil yang bertauliah. Ternyata usaha murni pihak penganjur dalam merealisasikan progam mengikut landasan Islam mendapat sokongan padu semua pihak. “Sepakan Perasmian” oleh YDP ISMA Seremban, Ustaz Mohd Azizee Hassan melencong masuk ke gawang gol memberi gambaran awal aksi-aksi yang bakal disajikan.

Sebaik wisel pertandingan ditiup, matlamat kemenangan menjadi buruan.  Gaya permainan tenang, pantas menutup ruang, rembatan kencang serta tandukan terbang merupakan aksi pasukan-pasukan pilihan.  Peluang tersasar, bola terkena palang, kerap mengutip bola di dalam gawang dan sesekali kaki kejang pula  adalah aksi pasukan-pasukan yang kurang latihan. Namun dari sudut yang lain, setiap pasukan sebenarnya beroleh kemenangan.  Tertautnya persaudaraan, terbuktinya kesabaran, terbentuknya kerjasama berpasukan dan terhasilnya ketaatan kepada pengadil adalah kemenangan sampingan yang patut dibanggakan.

Banyak masa yang terluang ketika menunggu giliran perlawanan tidak dibiarkan berlalu sia-sia. Pameran Bahayanya Dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang telah dijemput khas berjaya memberikan kesedaran kepada para remaja dan belia agar tidak terjebak ke jalan hitam ini.  Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada mengubati.  Begitu juga dengan  pameran Kesengsaraan Palestin daripada ISMA Seremban berjaya menimbulkan kefahaman tentang penindasan yang berlaku kepada saudara seIslam kita di Palestin.

Dalam pertarungan akhir kategori yang telah berlangsung, Kolej UNITI telah berjaya mengalahkan Not Bad FC  manakala RRJ FC pula mengalahkan Lado FC untuk kategori remaja. Namun tiada pasukan yang pulang hampa kerana pihak penganjur telah menyediakan saguhati ‘hamper’ untuk setiap pasukan yang bertanding.  Nikmat kemenangan manis mungkin tidak dapat diraih oleh setiap pasukan tetapi yang pastinya nikmat kenangan manis tetap terukir dan bakal menguatkan keazaman untuk mencuba lagi pada edisi akan datang.

Disediakan oleh:
Mohd Razman Jalil

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: