Retrospektif: English Language Camp 2010

Saya percaya, semua orang punya harapan, semua orang juga punya peluang. Sesungguhnya Allah tidak memutuskan sesuatu yang akan menzalimi hamba-hamba-Nya, apalagi segala ketentuan adalah dari ilmu-Nya yang luas. Begitulah perasaan dan pemahaman saya untuk adik-adik yang ‘wajib’ menyertai English Camp minggu lepas. Meskipun mereka tidak mahu menghadiri kem tersebut, saya tetap mahu memberikan mereka peluang itu, dan membuka pintu alternatif ke arah kecemerlangan. Kerana itu saya bersama-sama kumpulan kerja saya berusaha menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain.

 Ada bermacam jenis English Camp ataupun jenis seminar yang pelbagai anjuran pelbagai syarikat konsultan. Soalan saya, yang mana menepati syara’? yang mana mementingkan keseimbangan emosi, intelek, spiritual, dan jasmani dalam masa yang sama? Kerana itu, dalam tempoh kurang sebulan, Jawatankuasa Pelaksana ‘English Camp’ mengadakan perbincangan dan pertemuan bersama pihak sekolah dan sesama ahli demi memastikan aktiviti yang berlangsung tidak sekadar memenuhi tuntutan akademia. Saya bercita-cita membentuk generasi pemuda yang menjadikan matlamat kecemerlangannya berpusat dan berpaksikan kepada Allah SWT. Bermula dengan meyakinkan mereka bahawa kejayaan bukan suatu warisan dan bukan di dalam genetik, tetapi dengan usaha dan pergantungan kepada Allah.

Ada beberapa fasa penting dalam pembikinan kem ini. Pengumpulan data, perbincangan, perincian, dan penyusunan aktiviti, dan pemilihan fasilitator adalah yang paling penting. Pengumpulan data amat esensi dalam mengukur kefahaman peserta terhadap subjek tersebut. Perbincangan, perincian dan penyusunan aktiviti perlu untuk memastikan aktiviti yang disusun sesuai dengan tahap kefasihan peserta, juga supaya tidak terlalu mudah atau tidak terlalu sukar. Secara peribadi, memilih fasilitator yang paling sesuai ialah sesuatu yang amat sukar, kerana ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi selain fasih berbahasa inggeris. Namun, semuanya adalah asam-garam dalam pengendalian program, apalagi kem ini yang pertama seumpamanya, bukan sekadar untuk KRIM malah saya sendiri.

Saya percaya dalam memastikan keberjayaan sesuatu program, orang yang menggerakkannya juga ialah seorang yang bersemangat, entusiastik, bermotivasi, fasih berbahasa, dan yang paling penting, ialah orang biasa seperti saya dan anda. Saya percaya apabila kita menceritakan tentang diri kita, seorang manusia biasa, dan mampu melakukan perubahan seterusnya menggapai kejayaan, ia mampu menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada adik-adik peserta. Entusiastik dalam menggerakkan aktiviti lahir daripada keikhlasan sepertimana kita mahukan orang lain menerima nur hidayah dengan tarbiyyah yang kita lalui, konsepnya sama, caranya beda.

Saya telah memerhatikan peserta-peserta kem ini sebelum ia bermula, meski tidak pernah bersua namun saya mudah mengenalpasti peserta-peserta ini. Dan pastinya, masing-masing membawa karakter yang tersendiri. Biarpun sedikit keributan semasa pendaftaran kerana ketidakberadaan fasilitator (kerana bekerja) ia tetap berjalan lancar. Saya juga sedar bahawa ada peserta yang risau dan gusar. Mereka punya jangkaan dan skeptikal terhadap kem ini, saya biarkan sahaja kerana saya mahu terus bermain dengan prasangka dan perasaan mereka.

Saya kenakan beberapa peraturan kepada mereka. Namun, dengan setiap peraturan saya berikan alasan dan sebab kenapa peraturan tersebut dipilih. Bagi saya, yang paling menarik ialah peraturan ke-2, iaitu mereka hanya boleh berbahasa Inggeris kecuali di Musolla. Di dalam dewan, terpaksalah mereka menyusun kata dalam kepala, mengeriutkan dahi, untuk berbahasa Inggeris. Namun, saya telah menjangkakan bahawa mereka akan menggunakan bahasa Melayu di luar dewan dan semasa ketiadaan saya. Kelakar, apabila saya lalu, terus sahaja mereka berbahasa Inggeris. Tetap, ada yang benar-benar mencuba untuk berbahasa, tahniah saya ucapkan, saya bangga dengan semangat kamu.

Esoknya, saya menarik semula peraturan ke-2. Pastinya mereka terkejut, kerana setelah berusaha bertutur sehingga tersasul-sasul, mereka terpaksa menyia-nyiakannya. Namun, ia tidak habis di situ. Saya katakan kepada mereka, ‘kamu punya pilihan, untuk bercakap dalam bahasa Inggeris atau tidak, tapi ingat, bukan saya yang rugi kalau awak tidak mahu bercakap dalam bahasa Inggeris!’ Alhamdulillah, tetap ramai yang meneruskan. Bahkan, ramai yang mula menyedari dan memahami, bahawa bercakap dalam bahasa Inggeris bukan untuk manfaat orang lain tetapi diri sendiri.

Saya hampir hilang suara mengendalikan kem ini, kerana mikrofon tidak sesuai untuk saya dalam keluasan dua bilik darjah. Apalagi bila saya mengulang-ngulang arahan supaya mereka lebih memahami arahan yang diberi. Di sini banyak yang saya pelajari tentang teknik mengajar yang berkesan. Papan putih perlu digunakan sebaiknya kerana ia amat membantu, contoh-contoh juga perlulah yang praktikal dan sesuai dengan tahap kefasihan peserta, juga bagaimana anda memilih untuk menerangkan dalam bahasa dan cara yang mudah mereka fahami. Mendidik peserta menggunakan adjektif bukan suatu perkara yang mudah kalau teknik yang sesuai tidak digunakan, juga bukan sesuatu yang sukar andainya kita rajin dan terus mencuba serta mahu memberi variasi dalam pengajaran.

Saya melaporkan hasil pemerhatian saya pada hari pertama kepada guru-guru bertugas. Mereka bukan pelajar yang lemah, malah amat responsif terutamanya kepada intonasi, ekspresi muka, dan gaya percakapan. Saya percaya bahawa mereka mampu untuk menguasai bahasa tersebut, meskipun ia memakan masa. Peranan fasilitator sebagai sumber inspirasi amat penting dalam kem ini, selain daripada penyampaian input semasa aktiviti. Bukan sekadar hiburan semata.

Sehingga ke hari terakhir, mereka mula menunjukkan perubahan, keyakinan mula menyinari, kemahuan mula meninggi, dan harapan kian cerah. Tentu sekali perpisahan bukan sesuatu yang saya dan sesiapapun ingini, tetapi setiap permulaan ada pengakhiran, dan setiap pertemuan ada perpisahan. Apapun, Kem Bahasa Inggeris ini ialah langkah awal KRIM dalam melonjak amal dan membuka takungan yang lebih luas.

Saya ucapkan sekali lagi jutaan terima kasih kepada pihak sekolah yang menjemput saya untuk mengendalikan program ini, pihak KRIM dan ISMA NS yang sudi menjadi platform untuk pelaksanaan program, para fasilitator yang berdedikasi, bersemangat, dan sanggup mengorbankan masa, seterusnya kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Tidak dilupakan, adik-adik peserta yang saya kasihi, gapailah kemenangan dan kejayaan kerana Allah mentaqdirkannya bagi mereka yang berusaha! barakAllahu fiikum.

Nukilan,

Mohd Azmir Mohd Razli (Emir Abu Khalil)

Pengarah Program English Language Camp

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: