Seminar Kerjaya KRIMNS: Satu Permulaan Gemilang

 

Tetamu VIP dan para pelajar sedang asyik menonton promo KRIM

 

Labu, 26 Jun 2010- Kelab Remaja ISMA Negeri Sembilan buat julung-julung kalinya melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan Program Seminar Kerjaya 2010. Program kali ini  dianjurkan oleh KRIM NS dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Pejabat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seremban, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Cawangan Seremban.

Program ini telah diadakan di Dewan Sri Bestari, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP Labu) yang juga merupakan antara sekolah yang terbaik di negara ini. Kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bagi oleh pihak Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu terutama oleh Puan Pengetua, GPK HEM dan guru-guru kaunseling serta barisan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari kalangan pelajar adalah antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pengendalian program ini. Dengan objektif untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pentingnya kesedaran memilih kursus pengajian dan kerjaya yang betul, program ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 500 orang  pelajar tingkatan 4 dan 5 daripada sekolah-sekolah di seluruh Negeri Sembilan termasuklah dari MRSM Serting, Jempol.

Seawal jam 8.30 pagi para pelajar dari sekolah-sekolah jemputan telah tiba untuk mendaftarkan diri bagi mengikuti program ini. Ketibaan para pelajar dan guru-guru pengiring disambut mesra oleh penggerak KRIM NS dibantu oleh barisan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) SMAP Labu. Para pelajar dari pelbagai sekolah diminta duduk mengisi ruang-ruang kosong sambil mengisi borang biodata diri serta menjawab soalan Ujian Personaliti Kerjaya. Pada pagi ini barisan kaunselor dari SMAP Labu memainkan peranan dengan membantu para pelajar yang perlu menjawab soalan-soalan ujian kerjaya tersebut.

Program ini dimulakan seawal jam 09.30 pagi dengan majlis perasmian yang dihadiri oleh Tuan Hj Muhammad Bin Mohd Nor, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Seremban dan Puan Hajah Radziah Abdul Samad, Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan diikuti oleh ucapan Saudara Omar Bin Kassim, Setiausaha ISMA Cawangan Seremban yang turut mewakili pihak KRIM NS selaku penganjur utama program ini. Beliau sempat mengucapkan tahniah kepada peserta yang hadir dan menegaskan peri pentingnya mendapat pendedahan tentang pilihan kerjaya yang menentukan halatuju remaja pada masa akan datang. 

Program Seminar Kerjaya 2010  ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Tuan Hj Muhammad Bin Mohd Nor, wakil Pegawai PPD Seremban. Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan ucapan tahniah atas usaha pihak KRIM dalam menyumbang ke arah kecemerlangan para pelajar menerusi program seumpama ini. Beliau turut mengingatkan para pelajar agar mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin informasi yang berguna demi membantu memilih kerjaya yang betul di masa akan datang. Majlis perasmian ini diserikan lagi dengan tayangan video Promo KRIM buat tatapan tetamu jemputan dan para pelajar yang hadir. Teruskan membaca

Galeri Gambar Seminar Kerjaya KRIMNS 2010

Laporan Penuh Menyusul, Insya Allah!!