KEPUTUSAN PMR 2009: SEKALUNG TAHNIAH BUAT AHLI KRIM

Keputusan PMR yang diumumkan Disember lalu meninggalkan seribu satu kenangan buat calon-calon PMR 2009. Pastinya ada yang tersenyum puas dengan keputusan yang diterima, terkejut dengan keputusan yang diperoleh dan tidak terlepas juga yang menangis kerana kecewa. Walaubagaimanapun wahai para remaja sekalian, PMR bukanlah segalanya yang menentukan masa depan kalian. Tahniah dan syabas buat warga KRIM khususnya ahli-ahli KRIM NS yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR 2009. Bagi yang kurang cemerlang, kalian masih ada waktu untuk cemerlang dalam akademik andainya terus memberikan tumpuan untuk menghadapi SPM. Tingkatan 4 bukan tahun ‘honeymoon’.

Adik Sundus Mahayuddin, PMR 9A, SM Agama Sains Kuala Pilah

Pada ruang waktu yang Allah pinjamkan, wakil KRIM NS sempat menelefon salah seorang ahli  KRIM adik Sundus Mahyudin yang merupakan calon PMR 2009 warga KRIM yang berjaya memperoleh 9A baru-baru ini. Beliau adalah pelajar di Sek Men Agama Sains Kuala Pilah, salah sebuah sekolah yang mendapat keputusan PMR yang cemerlang di peringkat Negeri Sembilan.

Beliau sempat menyatakan rasa gembira dan merakamkan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh sebaik sahaja ditanya tentang perasaan setelah mendapat keputusan tersebut. Untuk mencapai keputusan yang cemerlang bukanlah suatu yang boleh datang bergolek. Antara yang beliau dapat kongsikan buat tatapan warga KRIM antaranya tumpuan dalam kelas, membuat latihan pada waktu prep petang dan membaca  pada waktu malam adalah antara rahsia kejayaan beliau dalam PMR ini. Menurut  pelajar yang mengambil jurusan sains agama ini,  sokongan rakan seperjuangan khususnya rakan-rakan sekelas merupakan pendorong utamanya untuk terus berjaya. Selain itu doa ibu dan dorongan keluarga juga antara faktor kejayaan beliau. Lebih membanggakan apabila dalam perbualan telefon tersebut beliau mahu berpesan kepada rakan-rakan dan warga KRIM supaya bersama-sama melaksanakan Solat Sunat Hajat sebanyak dan sekhusyuk mungkin kerana hanya Allah yang boleh membantu seseorang setelah penat berusaha di samping tidak lupa berdoa memohon kepada Allah.

Semoga kejayaan cemerlang adik Sundus ini dapat menjadi pedoman dan pembakar semangat kepada para remaja khususnya ahli KRIM sekalian. Kami tenaga penggerak KRIM NS mendoakan agar adik-adik sekalian sentiasa diberkati Allah, diberikan keazaman yang kuat, kesejahteraan dan kejayaan yang cemerlang dalam segala bidang yang diceburi duniawi dan ukhrawi.

Advertisements

PROGRAM SENAMROBIK SRIKANDI BERMULA


Tanggal 31 Mei 2009 yang telah pun melabuhkan tirai menyaksikan Kelab Remaja ISMA Negeri Sembilan mengatur langkah bagi mengumpulkan remaja puteri dalam program riadhah. Program ini telah diadakan di dataran Sekolah Rendah Islam As-Saidiyyah, Senawang.

Program yang berkonsepkan senamrobik srikandi ini dirancang bagi menjadi medan pertemuan remaja puteri khususnya di sekitar Seremban. Program senamrobik Ruhul Jadid ini bermula seawal jam 07.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 09.30 pagi. Antara agenda yang diselitkan dalam program ini termasuklah bacaan ikrar KRIM, nyanyian Lagi KRIM, Senamrobik Ruhul Jadid, sesi taaruf ahli KRIM dan tazkirah.

Semoga para remaja puteri dapat menjadikan program ini sebagai medan riadhah yang sihat di samping mengukuhkan lagi ukhuwwah di kalangan mereka. Kepada para remaja khususnya di Seremban jomlah kita meneruskan kesinambungan program yang telah bermula ini dengan memberi komitmen sepenuhnya pada program seumpama ini yang bakal diadakan lagi.

“Agama dan Akademik Mesti Seiringan” – Nik Nur Madihah

madihah-bersama-ahli-wanita-isma

Kewajipan terhadap agama dan kecemerlangan akademik mestilah dilaksanakan seiringan kerana kita tidak mahu sekadar berjaya di dunia sahaja, sedangkan kejayaan di akhiratlah yang kekal abadi. Demikian tegas Nik Nur Madihah bt Nik Mohd Kamal, pelajar cemerlang SPM 2008 ketika ditemuramah oleh wartawan ISMA di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini. Pencapaian Nik Nur Madihah mendapat 20A telah ‘menggemparkan’ negara kerana kejayaan ini diperolehi dalam keadaan hidup beliau yang serba daif seperti yang dipaparkan oleh media massa.

Ikuti wawancara penuh saudari Nik Nur Madihah bersama wartawan-wartawan ISMA (Muadz Mohammed Zain, Norzafry Norhalim dan Mohd Rusman Arief A Rahman) yang berkesempatan mendengar sendiri rahsia-rahsia di sebalik kejayaan luar biasa beliau. (W – Wartawan ISMA, M – Nik Nur Madihah)

Teruskan membaca