KRIM NS Dekati Pelajar SDASA

Port Dickson, 14-15 Mei 2010 – Kelab Remaja ISMA (KRIM) Negeri Sembilan melakar sejarah apabila buat pertama kalinya diberi peluang untuk bekerjasama dengan Sekolah Menengah Datuk Haji Abdul Samad (SDASA), Port Dickson bagi mengendalikan pelajar yang dipilih khas oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan guru-guru disiplin. Program yang julung-julung kali diadakan oleh pihak sekolah kepada golongan pelajar ini diberi nama program Islah Diri Remaja : Dari Zero Kepada Hero. Bertemakan “Kenali Ilahi, Insafi Diri”, program ini berjaya mengumpulkan seramai 57 orang pelajar tingkatan 3-5 yang rata-ratanya hadir ke program ini bukan atas kerelaan sendiri.

Program sehari semalam yang agak padat ini dikendalikan bersama oleh KRIM NS dan konsultan jemputan KRIM NS Ustaz Badrul Hisham (Abi Ahmad) dan kumpulannya. KRIM NS cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan beliau dan para fasilitatornya yang cukup masak dengan pelbagai ragam remaja. Sesi bersama pelajar khas ini dimulakan dengan menarik fokus peserta menerusi pelbagai aktiviti yang menarik. Beberapa slot berbentuk role play memberi input berguna antaranya memberi peluang kepada mereka untuk mengenal diri dan menggunakan potensi yang ada pada diri sebagai kunci untuk berjaya di samping menekankan pentingnya serius dan fokus. Program ini juga membuka ruang kepada peserta untuk mengenal dan mencintai Allah dengan kupasan yang mudah untuk difahami. Melengkapkan lagi program ini peserta diwajibkan untuk solat berjamaah dan untuk meralisasikan peraturan ini memerlukan kerja keras dari para penggerak KRIM dan guru-guru yang terlibat. Kuliah Maghrib bertajuk Allah Maha Melihat serta kuliah Subuh bertajuk Balasan Syurga & Neraka juga memberi input berguna buat para peserta. Slot terakhir ”Bunga-bunga Harapan” mengingatkan peserta tentang setiap insan yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berjaya. Slot ini juga menyedarkan mereka betapa besarnya harapan para ibu bapa dan guru-guru untuk melihat mereka berubah dan berjaya suatu hari kelak.

Majlis perasmian & penutup program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Unit Kaunseling, Pejabat Pelajaran Port Dickson, Tuan Hj Jamaluddin Abdul Ghani. Di kesempatan ini KRIM NS mengambil peluang untuk berkongsi maklumat tentang KRIM dan tayangan video KRIM dikongsikan buat tatapan tetamu jemputan, guru-guru yang terlibat dan khusus buat peserta program. Sebelum berangkat pulang pihak KRIM NS dan para peserta sempat merakamkan gambar bersama peserta yang memegang huruf-huruf yang membentuk perkataan ”Dari Zero Ke Hero”.
Akhir kalam, KRIM NS ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak Sekolah Datuk Hj Abdul Samad (SDASA), Port Dickson atas peluang mengendalikan program ini, Konsultan jemputan & kumpulannya serta guru-guru yang terlibat atas kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan program ini. Semoga program ini diberkati oleh Allah S.W.T. dan moga sentuhan semua pihak yang terlibat ini mampu menjadi titik tolak untuk remaja harapan ini berubah ke arah yang lebih baik.

Tinggalkan komen